Sunday, March 28, 2010

Anekdot Ulama 25: Ustaz Abdullah Al-Qari

Pada hari Sabtu yang lalu 27/3/2010 saya berkesempatan ke pameran buku antarabangsa di PWTC. Di celah-celah lautan manusia yang ramai itu mata saya terpandang seorang tua yang sedang duduk di atas sebuah kerusi di booth penjualan kitab-kitab Arab. Beliau membelek-belek kitab yang dibelinya Ada empat kampit beg plastik bersamanya. Semuanya berisi kitab Arab yang tebal-tebal. Saya memberanikan diri menegur untuk bertanya adakan dia Ustaz Abdullah Al-Qari. Maklumlah sudah terlalu lama tidak berjumpa. Tahun 80 an dahulu saya pernah bersekolah di sekolah menengah di tempat Ustaz mengajar di Kota Bharu. Ianya bukan sekolah agama. Ustaz mengajar sejarah Islam di situ. Saya tidak pernah belajar dengan Ustaz kerana saya dalam aliran Sains. Ustaz sememangnya guru yang dikenali di sekolah. Seorang tokoh penulis. Saya melihat ustaz dari jauh. Melihat peribadi seorang guru agak berbeza dengan perwatakan guru-guru lain. Apa yang saya ingat tentang Ustaz di kala itu ialah beliau sentiasa berdampingan dengan buku. Pada waktu rehat semua murid-murid ke kantin. Begitu juga guru-guru. Tetapi Ustaz mengambil peluang untuk menulis buku. Beliau akan memasuki sebuah bilik kecil berdekatan dengan kelas saya. Bila saya melalui bilik itu saya sentiasa melihat Ustaz sedang membaca atau menulis. Bila hampir dengan waktu Zohor Ustaz akan kelihatan berjalan ke surau sekolah. Mulutnya kumat kamit membaca Al-Quran. Di surau beliau akan bersolat sunat. Lama qiamnya. Saya agak Ustaz hafal Al-Quran 30 juz dan menjaganya di dalam solat. Saya lupa bertanya Ustaz adakah andaian saya itu benar dalam pertemuan yang sekejap itu. Sebaliknya Ustaz yang bertanyakan saya tentang demikian setelah dimaklumkan saya belajar agama di India.

Saya juga mengetahui Ustaz memiliki khazanah buku yang besar di rumahnya. Ketika kawan sekelas saya keturunan cina memeluk Islam Ustaz menghadiahkan beberapa buku karangannya. Saya juga mengetahui Ustaz mempunyai anak-anak yang bijak-bijak. Waktu itu nama anaknya yang sekarang bergelar Dr Najib terkenal di sekolah Maahad Muhammadi. Anaknya Dr Hilal pernah saya jumpa di UKM pada tahun 80 an juga. Kebetulan dia tinggal serumah dengan kawan saya. Saya tak berapa ingat waktu itu Dr Hilal sedang belajar atau sudah mengajar. Waktu itu saya tidak pernah kesah Ustaz Abdullah Al-Qari berfikrah apa. Dalam perbualan kami di PWTC sambil gelak-gelak Ustaz mengatakan bahawa beliau telah dilabelkan dengan gelaran `tokoh wahabi` di Malaysia. Ustaz menghurai lebar dan saya mendengarnya. Saya bertanya ustaz masih menulis? Ustaz menceritakan beliau mula mengajar dan menulis ketika berumur 15 tahun lagi. Dan sekarang dia masih aktif menulis. Kata beliau bukunya banyak diberikan kepada penerbitan Al-Hidayah. Saya bertanyakan lagi apakah fokus yang ustaz utamakan sekarangi. Kata beliau: "Aqidah".

Ustaz tidak tahu bagaimana hendak membawa buku yang banyak itu keluar. Saya menawarkan diri untuk membantu membawanya keluar. Dalam perjalanan keluar itu Ustaz bersungut. Kata Ustaz Imam Bukhari mengarang kitabnya Sahih Bukhari ke sana kemari selama 16 tahun lamanya. Sudah tentu penuh dengan kesukaran. Saya nak bawa ilmu yang dah siap dicari oleh mereka pun tak larat. Itulah bezanya ilmu orang dulu dengan orang sekarang.

Waktu sudah agak lewat senja. Saya perlu pulang segera. Saya meminta izin untuk pergi dahulu. Saya meninggalkan Ustaz bersama seorang bekas anak muridnya, Rosmizi, di sekolah Maahad Muhammadi dahulu yang kebetulan muncul apabila melihat kami berbual-bual sambil menunggu kedatangan anak Ustaz dari Damansara. Kata Rosmizi, beliau mengajar di sebuah sekolah agama kerajaan di Seri Petaling. Lulusan UM. Datang ke PWTC membawa pelajar-pelajar sekolahnya melihat buku. Dalam perjalanan meninggalkan PWTC saya terfikir-fikir tentang umur ustaz yang sudah menjangkau 73 tahun itu. Jika saya dipanjangkan umur seperti Ustaz adakah saya mampu cintakan buku dan cintakan ilmu seperti beliau.

Sunday, March 7, 2010

Anekdot Ulama 24: Exco Kelantan Menziarahi Darul Uloom Deoband

Mengikut lapuran akhbar Darul Uloom Deoband seramai lapan orang delegasi kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan lawatan ringkas ke Madrasah Darul Uloom Deoband India pada 25hb Febuari 2010 yang lalu. Mereka terdiri daripada beberapa Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan pegawai-pegawai kerajan negeri. Turut sama dalam rombongan itu ialah Datuk Mufti dan Kadi Negeri Kelantan. Exco yang terbabit ialah terdiri daripada Exco Pelajaran, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Exco Pelancungan. Dua orang daripada delegasi tersebut Ustaz Azhar Abd Sattar, pengarah perlesenan Majlis Perbandaran Kota Bharu dan YB Ustaz Abdullah Ya`kub pernah menuntut di Madrasah di India. Ustaz Azhar Abd Sattar adalah lulusan Darul Uloom Deoband. Manakala YB Ustaz Abdullah Ya`kub merupakan lulusan daripada Nadwatul Ulama Lucknow. Delegasi menyampaikan perasaan dukacita mereka terhadap fenomena ketiadaan pelajar Malaysia belajar di Darul Uloom lagi disebabkan kerajaan India tidak lagi mengeluarkan visa untuk tujuan tersebut. Mereka berharap agar satu masa nanti visa akan dibuka semula untuk meneruskan kesenambungan pelajar Malaysia di institusi ini yang sudahpun mula bertapak kira-kira 40tahun yang lalu. Saya telahpun dihubungi oleh Ustaz Azhar Abd Sattar tentang rancangan pemergian mereka sebelum ini untuk mendapatkan gambaran tentang perjalanan di sana serta aktiviti yang akan diadakan. Difahamkan bahawa mereka selepas itu menyusul ke Nadwatul Ulama Lucknow yang terletak kira-kira 475 km dari Deoband. Semoga silaturahim ini akan menautkan hubungan Kerajaan Negeri Kelantan dengan institusi-institusi keilmuan secara lebih kemas lagi di masa hadapan.

Anekdot Ulama 23: Mufti Darul Uloom Deoband - Kafil Rahman Nishat

Saya tidak tahu semenjak bila Mufti Kafil menjadi imam di Masjid Choti (Masjid Kecil). Dari mula saya datang ke Deoband pada 1989 hinggalah saat saya keluar Deoband pada tahun 2004 Mufti Kafil masih mengimami solat berjemaah lima waktu di masjid itu. Beliau bertugas sebagai seorang ahli majlis fatwa Darul Uloom. Beliau salah seorang mufti besar Darul Uloom. Beliau datang dari keluarga mufti. Datuknya Mufti Azizurahman adalah merupakan mufti pertama Darul Uloom Deoband. Malah abang kepada Mufti Kafil, Maulana Hilalurahman, juga seorang Mufti yang bertugas di negeri Punjab, India.
Saya agak bertuah kerana daripada mula sampai ke Deoband sudahpun mengenali keluarga Mufti Kafil. Kebetulan pelajar Malaysia daripada dahulu menyewa rumah keluarga mufti Kafil. Rumah sewa kami dimiliki oleh Qari Jalil. Rumah kami sebelah menyebelah dengan rumah beliau. Dia merupakan seorang guru tajwid di Darul Uloom tetapi sudah pencen kerana faktor usia. Beliau ialah ayah kepada Mufti Kafil. Semasa hayatnya Qari Jalil juga berjemaah di Masjid Choti. Waktu itu Qari Jalil sudahpun bongkok tetapi tetap ke masjid berjalan kaki dengan tongkatnya. Jarak masjid ke rumah beliau dan rumah kami juga ialah kira-kira 50 meter.

Pagi-pagi setiap hari, kecuali Jumaat, Mufti Kafil akan bergegas ke Darul Uloom, ke pejabatnya di Darul Ifta`. Waktu pejabat Darul Uloom sama seperti waktu belajar pelajar-pelajar. Kira-kira emapt jam bertugas di waktu pagi Mufti akan pulang ke rumah sekejap. Dekat waktu zohor beliau akan datang ke Masjid untuk menjadi Imam. Beliau akan terus masuk ke dalam bilik kecilnya sambil menunggu waktu solat. Selepas Zohor beliau akan masuk semula pejabat sehinggalah dekat dengan waktu asar. Selepas keluar pejabat Mufti Kafil akan terus ke Masjid. Selepas solat asar beliau pulang ke rumah. Sebelum Maghrib beliau akan datang semula ke Masjid Choti. Setelah mengimami solat maghrib beliau akan duduk di masjid sehingga Isyak. Biasanya beliau akan menyambung kegiatan menulis atau membaca di bilik kecilnya itu. Selepas Isyak Mufti Kafil akan pulang ke rumah dan akan datang semula sebelum waktu subuh. Begitulah kegiatan harian Mufti Kafil.

Pada bulan puasa Mufti Kafil akan berbuka di Masjid Choti bersama-sama pelajar yang menyewa bilik masjid di situ. Makanan dihantar oleh jiran-jiran. Kadang-kadang banyak. Kadang-kadang hanya ada satu dua piring sahaja. Tengok rezeki pada hari itu. Sepanjang di sana boleh dikatakan saban tahun saya akan berbuka puasa bersama Mufti Kafil. Kadang-kadang kami bertiga sahaja. Mufti Kafil, saya dan muazzin yang biasanya adalah pelajar Darul Uloom yang menetap di masjid itu silih berganti. Mufti tidak akan pulang ke rumah melainkan selepas solat terawikh.

Mufti Kafil terkenal dengan sifat pendiam. Dia jarang bercakap melainkan jika ada keperluan. Bila bercakap beliau tidak meninggikan suara. Semua tindakannya pantas. Bila berjalan sangat laju seolah-olah ada urusan penting sedang menunggu beliau yang menyebabkan beliau tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Hidupnya mengikut jadual sehingga semua orang mengetahui saat bila Mufti akan melintasi rumah mereka. Melihat biliknya di masjid seseorang boleh meneka bahawa Mufti seorang yang sukakan kekemasan. Walaupun biliknya kecil dan tidak ada banyak barang tetapi segala sesuatu di susun dengan rapi. Apabila berwuduk beliau sangat berhati-hati daripada sifat membazirkan air. Beliau tidak akan berwuduk dengan pili. Sebaliknya dengan lota. Jika orang biasa mengambil wuduk sudah tentu tidak cukup satu lota untuk menyempurnakan wuduk. Apabila menjadi imam beliau akan ringkaskan seringkas mungkin solatnya kerana mempertimbangkan makmum. Wirid selepas solat juga tidak mengambil masa yang lama.

Lota plastik yang terdapat di masjid-masjid di Deoband.
Ia mula digunakan secara meluas di separuh akhir qiam saya di Deoband

Lota tanah banyak digunakan di tahun-tahun
pertama qiam saya di Deoband



Walaupun seorang yang terkenal dengan sifat tidak banyak cakap tetapi Mufti Kafil mempunyai pena yang tajam. Beliau adalah seorang sasterawan Urdu. Syairnya menyentuh jiwa. Nama penanya Nishat (aktif) sesuai dengan peribadinya yang cergas dan pantas.

Sungguhpun Mufti Kafil berjawatan tinggi tetapi hidupnya sederhana. Malah tidak ada yang mengetahui beliau juga kesempitan wang. Gaji Darul Uloom bukanlah tinggi tidak sebagaimana jawatan Mufti di tempat kita. Pernah jiran kami yang mempunyai kedai runcit memberitahu kami bahawa Mufti Kafil hidup susah juga. Maklumlah katanya gaji Darul Uloom tidak dapat menampung anaknya yang ramai. Dia selalu mengambil barang di kedai itu dan membayarnya bila mendapat gaji. Selalunya tak semua hutang dapat dilunaskan penuh. Ia akan dibawa ke bulan hadapan. Kedai runcit itu sebenarnya milik Masjid Choti. Ia disewakan oleh Masjid. Peruncit itu yang juga seorang yang warak dan baik hati memahami tugas seorang guru di Darul Uloom yang banyak berkorban dari sudut masa. Tidak sempat mencari wang lebih . Masa banyak diperuntukkan untuk menjaga kepentingan Darul Uloom dan pelajar. Sesungguhnya misi agama tidak akan berjalan lancar jika tidak ada saling faham memahami di antara umatnya.

Dua tahun selepas saya pulang ke Malaysia saya mendapat berita tentang pemergian Mufti Nishat menemui Ilahi untuk selama-lamanya. Beliau diserang oleh serangan sakit jantung yang mengejut dalam usia 62 tahun pada tanggal 1 Ogos 2006. Walaupun beliau sudah tiada namun peribadi istimewa Mufti Kafilurahman Nishat Usmani telah banyak meninggalkan kesan kepada pelajar-pelajar, guru-guru dan orang awam. Semuga Allah menrahmatinya. Tugas menjadi imam dan memakmurkan bilik khalwat gah Masjid Choti kini dipikul oleh adik bongsu Mufti Kafil, Molvi Usamah.

Bilik Mufti Kafil Di Masjid Choti. Dinamakan Khalwat Gah (Tempat Suluk). Sebelum itu ia adalah Khalwat Gah Maulan Rafi`uddin, Pengetua Kedua Darul Uloom; Mufti Azizurahman, Mufti Pertama Darul Uloom; Maulan Qari Jalilurahman, Ustaz Darul Uloom.

Khalwat Gah Maulana Shabbir Ahmad Usmani di Masjid Choti.
Beliau ialah pengarang kitab Syarah Muslim, Fathul Mulhim




Monday, March 1, 2010

Anekdot Ulama 22: Maulvi Mohd Aqil

Maulvi Aqil itulah gelaran yang dipanggil oleh guru-guru di Darul Uloom Deoband kepada seorang tenaga pengajar yang selalu meluangkan masa untuk mengajar pelajar-pelajar Malaysia belajar bahasa Urdu. Beliau tamat belajar di Darul Uloom. Oleh itu beliau layak digelar Maulana. Setelah itu beliau menyambung pelajaran di Universiti Aligarh. Itulah sebabnya beliau turut mahir dalam bahasa Ingeris di samping Urdu, Parsi dan Arab. Setelah itu beliau bertugas di Darul Uloom sebagai guru sekolah rendah (Diniyyat). Oleh kerana itu status beliau bukan lagi Maulana tetapi Maulvi (Semua guru-guru yang mengajar kanak-kanak pra pengajian kitab-kitab turath digelar sebagai Maulvi manakala yang mengajar kelas untuk peringkat kitab turath dipanggil sebagai maulana). Di situlah Maulvi Aqil menghambakan diri mengajar kanak-kanak tentang ilmu agama, bahasa Inggeris, Hindi, Georafi, Matematik dan Urdu. Orangnya sangat humble. Tetapi daripada raut wajahnya kelihatan dia seorang yang pintar. Bagi pelajar asing yang boleh berbahasa Arab atau Inggeris dan ingin belajar bahasa Urdu mereka akan diberitahu agar menemui Maulvi Aqil untuk tujuan tersebut. Tiada kelas formal diatur oleh pihak Darul Uloom. Malah Maulvi Aqil akan menetapkan waktu yang sesuai untuk sesiapa yang datang menemuinya. Kadang-kadang pengajian diadakan di dalam kelasnya ketika kanak-kanak diberikan tugasan. Kadang-kadang di rumahnya sendiri. Maulvi Aqil tidak pernah menolak sesiapa sahaja yang meminta belajar bahasa Urdu, Arab maupun Inggeris. Malah di Darul Uloom tiada yang pandai berbahasa Ingeris pada waktu itu melainkan boleh dibilang dengan jari. Tiada fees yang dikenakan. Semuanya percuma. Penerimaan Maulvi Aqil hanya semata-mata kerana beliau cintakan ilmu dan perasaan mahabbah (cinta) kepada warga asing yang jauh merantau untuk belajar ilmu agama. Kalau belajar di rumahnya kita akan dihidangkan pula dengan makanan dan minuman.

Mulanya saya tidak belajar dengan Maulvi Aqil bahasa Urdu kerana tidak tahu hendak berkomunikasi dengan beliau dengan bahasa apa. Setelah agak lama sedikit, dalam setahun dua berada di Deoband, saya rasa sudah yakin untuk berguru dengan Maulvi Aqil. Saya tidak mempelajari Urdu secara formal. Pada peringkat permulaan saya mempelajari bahasa Urdu secara sendiri daripada buku berjudul Teach Yourself Urdu In Two Months. Setelah agak pandai sedikit saya membuat kesemua latihan di dalam buku tersebut dan meminta Maulvi Aqil menyemak kesemua latihan tersebut. Saya agak terperanjat juga kerana hampir kesemua latihan terjemahan daripada Inggeris kepada Urdu yang saya lakukan adalah betul. Kadang-kadang jika beliau tiada saya hanya meninggalkan latihan itu di dalam kelas beliau. Keesokan harinya saya akan memungutnya. Maulvi Aqil tetap sabar menyemaknya walaupun tiada imbuhan apa-apa melainkan kerana sukakan orang yang mehnat kerana ilmu (rajin dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu).

Setelah tamat membuat latihan bahasa Urdu itu saya meminta daripada Maulvi Aqil meluangkan waktu untuk mengajarkan saya sebuah kitab Fekah Mazhab Hanafi yang berjudul Ma la Budda Minhu. Ia ditulis di dalam bahasa Parsi oleh Qadi Sanaullah Panipati, seorang muhaddis besar India. Mendengar hasrat saya itu Maulvi Aqil dengan lapang dada menerimanya. Saya mempelajari kitab itu sampai tamat dalam beberapa majlis pertemuan dengan beliau. (Pada waktu itu saya sudahpun boleh membaca teks-teks bahasa Parsi)

Ketika saya mendaftarkan diri di dalam kelas Tahfiz Al-Quran kebetulan kelas saya bersebelahan dengan kelas Maulvi Aqil mengajar. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan tahfiz saya. Apabila saya menamatkan tahfiz Al-Quran dalam masa satu tahun sahaja beliaulah orang yang paling gembira dengan pencapaian saya itu. Beliau telah meraikan saya dengan menjemput saya makan di rumahnya bersempenaan dengan pencapaian itu. Maulvi Aqil meninggal dunia ketika saya masih di Deoband. Saya tidak tahu selama ini beliau mengidap penyakit darah tinggi yang akhirnya meragut nyawa beliau. Semoga Allah membalas jasa baik beliau kepada semua orang. Walaupun beliau tidak terkenal di persada umum tetapi beliaulah sebenarnya yang harus diberi kredit kerana membina isti`dad pelajar-pelajar. Berapa ramai orang yang tidak dikenali ramai tetapi ia dikenali oleh gollongan khawas (خواص).

Surat Jemputan Jamuan Makan Moulvi Muhammad Aqil Sempena
Men
ghargai Saya Tamat Menghafal Al-Quran

Buku Yang Saya Gunakan Ketika Mula Mempelajari Bahasa Urdu

Buku Teach Yourself Urdu In Two Months
Yang Saya Abadikan Dalam Bentuk Syarah Di Dalam
Bahasa Melayu (Masih Dalam Bentuk Manuskrip. Ditulis Di India)