Tuesday, December 29, 2009

Anekdot Ulama 14: Seusia 15 Tahun Sudah terjemahkan Syair Iqbal

Maulana Abul Hasan An Nadwi buat julung kalinya bertemu Iqbal pada tahun 1930 ketika memasuki umur 16 tahun. Jun 1929 umurnya genap 15 tahun. Maulana mempunyai ramai saudara mara di Pakistan. Ketika menemui Iqbal maulana di bawa oleh bapa saudaranya Maulana Muhammad Talhah dan seorang tenaga pengajar Universiti Punjab, Dr Abdullah Chaghtai. Maulana Abul Hasan diperkenalkan oleh bapa saudaranya kepada Iqbal sebagai bukan sahaja anak tokoh penulis terkenal Maulana Abd Hayie tetapi mempunyai kebolehan luar biasa dalam bahasa Arab. Dalam seusia sebegitu muda beliau sudahpun mampu bertutur bahasa Arab dengan lancar walaupun hanya belajar di India sahaja. Beliau juga telah menterjemahkan beberapa syair Iqbal. Semasa pertemuan itu beliau sempat menunjukkan terjemahan syair Iqbal "Chand" (Bulan) yang masih dalam tulisan tangannya yang asal. Iqbal terpegun dengan kebolehan Abul Hasan dan menunjukkan sikap betapa ia menyayangi beliau. Iqbal memberikan dorongan kepada anak kecil itu agar menjadikan bahasa Arab sebagai pengkhususan kariernya. Begitulah didikan yang baik diberikan oleh keluarga. Di samping mendidik di rumah anak-anak harus diperkenalkan dengan tokoh-tokoh yang akan menjadi sumber inspirasi anak tersebut ketika melalui proses tumbesaran mereka. (Rujukan: Abul Hasan Ali Nadwi Akabir -o- Mashahir -i- Ummat ki nazar men, 145)

Kumpulan Syair-Syair
Yg Dinamakan Kuliyat Iqbal


Sunday, December 27, 2009

Anekdot Ulama 13: Iqbal Dan Hamasah

Ramai menyangka Iqbal hanya mahir berbahasa Inggeris, Parsi dan Urdu selain daripada bahasa ibundanya Punjabi. Inggeris kerana Iqbal pernah bersekolah aliran Ingeris hingga ke peringkat doktor falsafah. Parsi kerana syair-syairnya banyak juga ditulis di dalam bahasa Parsi. Tidak ramai mengetahui Iqbal mampu memahami bahasa German apalagi membaca teks-teks berbahasa Arab. Semasa lawatan Allamah Abul Hasan Ali An Nadwi dan beberapa orang lagi saudara maranya menemui Iqbal pada tahun 1937 di rumahnya, ketika beliau sedang sakit gering, mereka berpeluang berbincang banyak topik berkenaan dengan Islam. Antaranya tentang syair-syair Arab Jahiliyyah. Iqbal begitu asyik dan bersemangat membicarakannya. Dalam majlis itu beliau sempat mendeklamsikan beberapa potong syair dari dewan Hamasah Abu Tamam yang beliau ingati. Ini membuktikan Iqbal pernah mempelajari syair-syair Hamasah di suatu masa dahulu. Sentuhan-sentuhan Iqbal terhadap banyak perkara di dalam syair-syairnya membuktikan bahawa Iqbal mengusai banyak disiplin ilmu. Malang sekali hari ini mereka yang berkecimpung di dalam bidang agama amat lesu untuk memperkuatkan bahasa Arab menerusi pemahaman terhadap syair-syair agung Arab yang terkandung di dalam dewan-dewan dan mua`llaqat-mua`llaqat mereka. Kepincangan ini juga menjadi salah satu penyebab kepada lemahnya penguasaan generasi ilmuan hari ini terhadap nilai Al-Quran dari sudut bahasa. (Rujukan: Abul Hasan Ali Nadwi Akabir -o- Mashahir -i- Ummat ki nazar men, 145-146)

Dewan Hamasah

Wednesday, December 23, 2009

Anekdot Ulama 12: Di Sebalik Kemashyuran Iqbal

Melihat peribadi Iqbal ramai mengatakan bahawa beliau seorang yang penyabar, seorang yang mensyukuri nikmat Tuhan dan seorang yang hidup serba qana`ah. Wang ringgit banyak dihabiskan untuk perjuangan agama. Lantaran daripada itu beliau sentiasa tidak berwang. Pernah disarankan oleh Dr Ramatullah Quraishi, seorang pengamal perubatan yang menjadikan England tempat beliau meneruskan kariernya (1921), teman yang mengangumi Iqbal, agar beliau mengambil royalti hasil penulisannya daripada penerbit. Kalau boleh dia sanggup berbincang dengan penerbit di England untuk tujuan ini. Kata Iqbal tak usahlah. Akupun pernah terfikir untuk berbuat demikian sebelum ini. Tetapi terlintas pula di fikiran aku manalah tahu keuntungan perniagaan hasil daripada penulisan buku-buku aku itu mendatangkan banyak manfaat kepada golongan miskin dan golongan yang layak menerima bantuan terutama ibu tunggal dan anak-anak yatim. Aku takut dengan sebab aku memikirkan untuk kepentingan peribadi maka mereka terhindar daripada mendapat peluang dibantu. Ramai menyangka Iqbal selaku seorang yang terkenal di persada antarabangsa hidup serba mudah dan senang lenang. Barangkali ketinggian rohaninya inilah yang menghidupkan lafaz-lafaz syairnya. Iqbal tidak hanya berkata-kata malah hidup mengotainya. (Rujukan: Rozgar -i- Faqir vol 2, 336)

Buku Hasil Daripada
Siri Ceramah Iqbal

Saturday, December 12, 2009

Anekdot Ulama 11: Iqbal Tawadu` Dalam Berilmu

Allamah Iqbal (1877-1938) bukan sahaja seorang penyair, pemikir dan statesman malah beliau juga seorang ahli falsafah. Banyak tajuk perbincangan di dalam falsafah yang menjadi ma`rakatul aaraa (causing great diversity opinion) di kalangan ahli falsafah. Di antaranya ialah perbincangan mengenai hakikat 'masa' dan 'tempat'. Allamah Iqbal juga turut memikirkan tentang masalah 'masa' dan 'tempat' ini secara mendalam tetapi tidak mencapai kepuasan tentang natijah atau kesimpulannya. Untuk itu beliau telah menulis surat kepada muhaddith Deoband, Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875 -1933). Maulana Anwar Shah Kashmiri mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam memahami perkara-perkara yang sulit di dalam falsafah. Di dalam koleksi surat menyuratnya Iqbal ada menyebut bahawa dia mendapat manfaat yang banyak daripada jawaban yang diberikan oleh Maulana Anwar Shah Kashmiri tentang hakikat masa dan tempat dalam falsafah. Malangnya menurut Maulana Anzar Shah Kashmiri (1929-2008), anak Maulana Anwar Shah Kashmiri, surat jawaban itu telahpun hilang. Begitulah tawadu`nya Iqbal. Apabila beliau tidak faham akan sesuatu perkara beliau tidak segan bertanya kepada sesiapa yang layak walaupun beliau memiliki doctorate dalam bidang falsafah. (Rujukan: Naqsh -i- Dawami, 121).

Maulana Anzar Shah Kashmiri

Persemadian Maulana Anwar Shah Kashmiri
Di Deoband



Thursday, December 10, 2009

Anekdot Ulama 10: Iqbal Di Masjid Cardova


Pada tahun 1933 Iqbal telah melakukan lawatan ke beberapa buah negara di dunia termasuklah Sepanyol. Beliau tidak ketinggalan daripada melawat beberapa buah bandar di sana termasuk Cardova dan Granada. Di sana Allamah Iqbal sempat singgah di masjid Cardova yang sudah lama menjadi gereja. Sesampainya di gereja tersebut Iqbal meminta paderi di situ agar mengizinkannya bersolat di dalamnya. Paderi itu berat untuk menerima permintaan Iqbal. Kata Iqbal kepada paderi itu, "Kami orang Islam tak pernah bersikap begini dalam melayani tetamu sebagaimana kamu bersikap kepada kami". Sebaik sahaja mendengar teguran Iqbal, paderi itu termenung lalu meminta Iqbal menunggu sekejap. Dia perlu meminta izin daripada ketua paderi terlebih dahulu. Setelah paderi itu pergi Iqbal dengan tidak berlengah-lengah lagi terus sahaja bersolat di situ. Suatu hal yang menakjubkan kerana hampir tujuh ratus tahun selepas hilangnya pemerintahan Islam di Sepanyol Iqballah orang yang pertama dapat bersolat di masjid Cardova. Kata Iqbal, "Amat pelik kerana orang Islam memerintah Sepanyol hampir lapan ratus tahun namun tidak kelihatan kesan-kesan kewujudan umat Islampun di sini, paling tidak bekas tanah perkuburan mereka." Seolah-olah Iqbal ingin mengatakan apakah gerangannya penghapusan ini!!! (Rozgar -i- Faqir, vol 1, 47)

Tuesday, December 8, 2009

Anekdot Ulama 9: Allamah Iqbal Mendengar Ayat Quran

Diceritakan bahawa adik perempuan Allamah Iqbal telah berkahwin dengan seorang lelaki daripada sebuah tempat yang bernama Wazirabad. Setelah berkahwin beliau tinggal bersama mertuanya. Malangnya setelah beberapa tahun berkahwin mereka tidak dikurniakan seorang anakpun. Lama-kelamaan hal ini telah menimbulkan perasaan tidak senang ibu mertuanya. Dia makin tidak disenangi di dalam keluarga tersebut. Adik perempuan Allamah mula tidak tahan dengan sikap mertuanya. Akhirnya dia mengambil langkah untuk keluar daripada rumah itu dan pulang semula kepangkuan ayahda bondanya. Setelah itu ibu mertuanya telah mencari jodoh lain untuk suaminya. Suami adik perempuan Allamah Iqbal seorang yang taat kepada suruhan ibu. Oleh itu beliau menerima sahaja saranan ibunya itu. Tidak lama kemudian ibunya meninggal dunia. Timbul hasrat di sanubarinya ingin mengambil semula isteri yang pertama. Berkali-kali beliau memohon ayah bonda Allamah agar memaafkannya dan menerima permintaannya untuk mengambil semula isterinya. Dia mahukan perdamaian di atas persengketaan yang berlaku sebelum ini. Pada mulanya ayahda Allamah Iqbal menolak permintaan itu. Tetapi lama kelamaan apabila terus diminta hatinya terbuka untuk berdamai. Apabila mengetahui penerimaan perdamaian itu adik ipar Allamah Iqbal datang bersama-sama beberapa ahli keluarganya ke rumah ayah Allamah Iqbal di Sailakot. Kebetulan pada waktu itu Allamah Iqbal juga pulang ke kampung. Mendengar kedatangan rombongan itu Allamah Iqbal naik berang dan melarang ayahnya daripada menyerahkan adiknya itu semula kepada pihak suaminya. Puas dipujuk namun Allamah Iqbal tetap dengan pendiriannya. Apabila melihat Allamah Iqbal tidak berganjak dengan keputusannya maka ayahnya dengan nada yang bijaksana membacakan ayat Quran kepada Allamah Iqbal وَالصُّلْحُ خَيْرٌ Berdamai itu lebih baik. Mendengar sahaja ayat itu Iqbal diam tidak terkata. Mukanya menjadi merah padam. Tak lama selepas itu ayahnya bertanya semula kepada Allamah Iqbal tentang bagaimana keputusannya. AllamahIqbal lantas menjawab, '"wahi jo Quran kehta hai" (keputusannya seperti apa yang diputuskan oleh Quran itu). Ini menunjukkan bahawa Allamah Iqbal seorang mukmin sejati. Seorang mukmin sejati apabila diberi peringatan oleh Al-Quran maka ia akan patuh dengan segera. (Rozgar -i- Faqir, vol2, 410).

Iqbal membaca Kuliyyat Iqbal.
Inspirasi Kuliyyatnya ialah Quran



Sunday, December 6, 2009

Anekdot Ulama 7: Ulama Dan Umdatul Qari

Pada suatu ketika diceritakan Darul Uloom Deoband belum memiliki kitab syarah Bukhari yang ditulis oleh Allamah Aini iaitu Umdatul Qari. Untuk memperolehi sesebuah kitab pada waktu itu bukanlah perkara yang senang kerana kemudahan yang tidak ada untuk mendapatkannya. Apa lagi kalau kitab yang berjilid-jilid seperti Umdatul Qari. Kitab ini sangat penting kepada Darul Uloom kerana Darul Uloom dan Allamah Aini kedua-duanya bermazhab Hanafi. Umdatul Qari dikarang sezaman dengan Fathul Bari kitab karangan Ibnu Hajar Asqalani. Malah kitab ini dikarang sebagai jawaban ke atas Fathul Bari yang dianggap oleh Aini sebagai lebih cenderung menyokong pendapat mazhab Syafie dalam sesuatu issu yang melibatkan pandangan fekah. Oleh itu kitab Umdatul Qari sangat bermakna kepada Darul Uloom yang menjadikan fekah Hanafi sebagai mazhabnya. Akhirnya kitab Umdatul Qari dijanjikan akan tiba di stesen keretapi Deoband. Untuk tujuan menyambut ketibaan kitab ini para ulama dan pelajar Darul Uloom telah berkumpul secara beramai-ramai di stesen keretapi. Ia disambut dengan penuh penghormatan seperti menyambut seorang VIP. Begitulah hebatnya ulama dahulu kala dalam menunjukkan sikap penghargaan mereka terhadap kitab. (Kesah ini dibaca di dalam sebuah buku tetapi malangnya saya tidak mengingati jodol buku tersebut).

Kitab Umdatul Qari Versi Baru

Anekdot Ulama 6: Allamah Iqbal Dan Buku

Allamah Iqbal, pujangga Islam yang tesohor, bukan sahaja cinta kepada buku malah sudah sampai ke peringkat ishq. Beliau berjaga malam dengan lampu dan pelita hanya semata-mata untuk membaca buku. Kehidupannya persis seperti seorang pelajar walaupun sibuk dengan berbagai urusan. Sibuk sebagai sasterawan kerana beliau seorang penyair. Ilmuan kerana beliau seorang professor di universiti. Negarawan kerana beliaulah pioneer kepada kewujudan negara Pakistan. Kemasyrakatan kerana beliau seorang peguam (barrister). Beliau membaca buku daripada berbagai-bagai disiplin ilmu. Suatu hari Allamah Iqbal ditanya oleh seseorang, "Apakah hasil kesudahannya Tuan mentelaah buku begitu banyak sekali?". Beliau menjawab, "Yeh to muje dusri dunya main bhi kaam dega'' = " Ini juga akan memberi faedah kepada saya di alam dunia lain nanti". Oleh itu membaca buku mengikut Iqbal bukan hanya sekadar untuk menambahkan ilmu pengetahuan malah ianya ada sentuhan akhirat. Kepada mereka yang sibuk dengan aktiviti2 Islam janganlah anda tandus membaca. Anda mungkin tidak sesibuk Allamah Iqbal untuk tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca. (Rozghar -i- Faqir vol 2, 348).

Iqbal dan buku

Iqbal sebagai pujangga

Anekdot Ulama 5: Maulana Abul Hasan Dan Kitab

Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi menceritakan bahawa di zaman kanak-kanaknya beliau beria-ria ingin memiliki sebuah buku sirah Nabi yang berjodol Rahmatun Lil A`alamin karangan Qadi Sulaiman Salman Mansurpuri di dalam bahasa Urdu. Dalam diam-diam Maulana telah memesan kitab itu daripada sebuah kedai kitab melalui pos. Kitab itu akhirnya sampai ke tangan ibu Maulana. Tetapi ianya agak malang kerana ibunya terpaksa menolak pembelian tersebut kerana tidak cukup wang untuk membayarnya. Maulana hampir-hampir sahaja menangis kerana kesedihan tidak dapat memiliki kitab itu. Melihat air muka kesungguhan Maulana hendak memiliki kitab itu akhirnya salah seorang daripada keluarganya telah membayar kepada posman harga kitab tersebut. Mengikut Maulana kitab itu terus dibacanya. Malah kitab itu telah memberi kesan kepada dirinya. Ia mengalir ke dalam jiwa dan raganya seperti aliran letrik. Katanya kesan itu mungkin lahir daripada keikhlasan dan keimanan pengarangnya di samping gaya bahasa penyampaiannya yang bersahaja dan unik. Seharusnya sifat mencintai buku mestilah disemai semasa kecil lagi dengan menjadikan biah di rumah sebagai the cradle of knowledge. (Rahmatun Lil A`alamin, 17). Nota: Buku ini telahpun diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Dr Samir Abdul Hamid, Universiti Islam Muhammad bin Suud, Riyad.

Anekdot Ulama 4: Maulana Zakariya Belajar Di Stesen Keretapi

Maulana Zakariya (1898–1982) menceritakan bahawa antara gurunya dalam pengajian ilmu nahu Arab ialah ayahnya sendiri iaitu Maulana Yahya Kandahlawi (1287-1334H). Mengikut Maulana beliau memulakan pengajian kitab nahu syarah Jami yang merupakan syarahan kitab Kafiah Ibnu Hajib dengan ayahnya di stesen keretapi ketika pulang ke kampungnya Kandlah. Pengajian diteruskan di dalam keretapi sehinggalah sampai ke kampung. Pengajian juga diteruskan di rumah walaupun tidak lama. Dalam perjalanan pulang semula ke madrasah pengajian bersama ayahnya tidak ditinggalkan. Mereka meneruskan pengajian sambil menunggu keretapi datang. Masa tidak dibuang. Perbincangan tentang kitab Syarah Jami berlangsung di dalam keretapi sehinggalah sampai ke destinasi yang ditujui iaitu stesen bandar Saharanpur. Ini adalah satu pengajaran kepada ahli ilmu agar mengambil kesempatan untuk belajar walaupun sedang dalam pemusafiran. (Aap Biitii, 75).

Adakah anda bersedia membaca buku
atau mempelajari pelajaran dalam kesibukan begini?

Saturday, December 5, 2009

Anekdot Ulama 3: Maulana Ashraf Ali Thanawi dan Istiqamah

Maulana Ashraf Ali Thanawi (1863-1943) ialah anak murid kepada Maulana Mahmud Hasan Deobandi. Maulana Mahmud Hasan pula merupakan pelajar pertama Darul Uloom Deoband. Pada permulaan penubuhan (1866) Darul Uloom belum mempunyai bangunan. Ia hanya mempunyai seorang guru yang bernama Mahmud Hasan dan seorang murid yang juga secara kebetulan bernama Mahmud Hasan. Kelasnya hanya diadakan di bawah sepohon pokok delima di dalam sebuah masjid yang bernama Chatta Masjid. Setelah tamat pengajian akhirnya Maulana Mahmud Hasan yang selepas itu digelar sebagai Sheikhul Hind dipilih menjadi guru di Darul Uloom. Di antara murid Sheikhul Hind yang ternama ialah Maulana Ashraf Ali Thanawi. Kemasyurannya menyebabkan ia digelar dengan gelaran Hakimul Ummah. Dalam kesibukan sebagia guru dan murabbi dalam bidang tasawwuf Maulana Ashraf Ali sempat juga mengarang hampir seribu buah kitab dalam berbagai disiplin ilmu. Ini mengambarkan bahawa Maulana Ashraf Ali Thanawi seorang yang menjaga waktu dan berdisplin serta istiqamah dengan setiap amalan yang dilakukannya. Pernah satu ketika Maulana Thanawi diziarahi oleh guru kesayangannya iaitu Sheikhul Hind Maulana Mahmud Hasan. Dia dengan pernuh hormat melayani gurunya sebagia tetamu dan sebagai guru. Namun ketika jam menunjukkan waktu di mana Maulana Thanawi seharusnya berada di meja untuk mengarang kitab sebagaimana rutinnya maka beliau dengan penuh adab meminta izin daripada gurunya untuk pergi menulis sekejap sebagai menghormati masa yang beliau telah peruntukan dalam hidupnya untuk aktiviti mengarang. Semoga istiqamah Maulana Ashraf Ali Thanawi menjadi pedoman kepada kita semua. (Ashrafu s-Sawaanih, riwayat hidup Maulana Ashraf Ali Thanawi).

Maulana Ashraf Ali Thanawi di zaman tuanya.
Hanya ini sahaja gambar Maulana Ashraf Ali didapati
daripada koleksi gambar2 ulama Darul Uloom yg
disimpan di kedai2 gambar di Deoband.

Pohon Delima Di Dalam Masjid Chatta,
Madrasah Pertama Darul Uloom

Telah Di Tebang Sekitar Tahun 2000an
Untuk Mengelakkan Perbuatan
Bid`ah Di Kalangan Org Awam
Yg Mula Mengambil Sesuatu
Dari Pohon Itu Utk Mencari
Keberkatan



Wednesday, December 2, 2009

Kembara Deoband 16 - Jama` Masjid

Jama` Masjid ialah masjid besar pekan Deoband. Di sini ditunaikan solat jumaat dan solat hari raya. Peranannya semakin bertambah bila ia dijadikan sebagai madrasah Darul Uloom Deoband Waqaf. Ia terdiri daripada dua ruangan besar. Ruangan pertama setelah menaiki tangga ialah ruangan besar yang terbuka tanpa atap. Berhadapan dengan tangga di ruangan tersebut ialah sebuah kolah besar untuk berwudhu. Mereka panggil hauz. Rata-rata orang yang datang bersembahyang lebih selesa mengambil air sembahyang mengunakan hauz jika dibandingkan dengan pili. Ruangan ini akan dijadikan tempat sembahyang pada musim panas untuk solat subuh, asar, maghrib dan isyak kerana udara di luar lebih nyaman. Solat zohor akan ditunaikan di ruangan dalam kerana waktu ini panasnya terik. Di sekeliling ruangan ini terdapat beberapa bilik. Di bahagian paling kiri ada sebuah bilik untuk muazzin. Manakala bilik-bilik yang lain dijadikan pejabat Darul Uloom Waqaf. Di bahagian atas bilik-bilik pejabat menaiki tangga dibina satu ruangan memanjang kiri-kira 20-30 meter panjangnya. Ruangan ini dijadikan kelas tahun akhir iaitu kelas Daurah Hadith. Ruangannya cukup untuk menampung 200-300 pelajar Daurah.

Ruangan lapang tempat solat pada musim panas.
Ruangan dalam ruangan solat utama dan kelas pengajian

Di hadapan ruangan besar ialah ruangan utama solat. Kedudukannya lebih tinggi daripada ruangan terbuka. Terdapat empat atau lima anak tangga perlu dilepasi untuk sampai ke ruangan ini. Ruangannya tidaklah terlalu besar. Cukup untuk mengisi seramai tiga hingga empat ratus jemaah. Ruangan ini dijadikan bahagian utama untuk kelas-kelas pengajian madrasah Darul Uloom Waqaf. Kelas dibahagikan secara kelompok. Kelompok kelas 1 hingga kelas 7. Tidak ada dinding yang membatasi. Yang menjadi penanda hanyalah tiang-tiang masjid. Hampir semua sudut diisi dengan kelas. Sudut-sudut yang jauh dipilih untuk mengelakkan gangguan bunyi dari kelas yang lain. Namun suara bertindan tetap kedengaran. Sebahagian besar kelas mempunyai meja panjang pelajar yang dinamakan tipai. Selepas kelas tipai-tipai akan disimpan ditepi-tepi dinding. Hanya kelas Daurah Hadith sahaja memakai microphone kerana jumlah pelajarnya yang ramai iaitu kira2 200-300 orang.

Anekdot Ulama 2: Muhaddith Kafinji dan Nahu

Diceritakan bahawa Muhaddith Al-Kafinji (الكافنجي) sangat memberi perhatian kepada ilmu nahu. Kitab yang selalu menjadi pegangan beliau ialah kitab Kafiah (الكافية) oleh Ibnu Hajib (ابن الحاجب). Oleh kerana beliau selalu mentelaah dan mengajar kitab Kafiah maka beliau akhirnya digelar Al-Kafinji. Ulama dahulu tidak hanya mahir dalam ilmu-ilmu induk seperti tafsir, hadis dan fekah. Mereka sangat memberi perhatian kepada ilmu-ilmu asas yang dinamakan sebagai ilmu alat seperti nahu, saraf, balaghah dsb kerana tanpa penguasaan ilmu ini, ilmu mereka dikira naqis (defective).

Anekdot Ulama 1: Sheikul Hadis Maulana Zakariya Dan Adab Belajar

Ketika Sheikhul Hadith Maulana Zakaria Kandahlawi (1898–1982), pengarang kitab syarah Muwata Imam Malik, Aujazul Masaalik, memasuki tahun akhir pengajian hadith beliau berazam tidak akan meninggalkan sebuah hadith pun tanpa berguru. Begitu juga sahabat sekelasnya Hasan Ahmad. Mereka juga memastikan diri agar sentiasa berwuduk. Tetapi masalah yang timbul ketika pengajian berlangsung ialah terpaksa ke tandas kerana membuang air atau terbatal wuduk kerana kelas hadith memakan masa empat hingga lima jam untuk sesi pagi. Dua tiga jam di sesi petang. Sudah tentu perlu ke tandas samada untuk membuang air atau tajdid wuduk. Untuk memastikan mereka tidak ketinggalan daripada mendengar semua hadis di hadapan ustaz maka mereka berdua membuat suatu perancangan. Kata Maulana Zakaria kepada kawannya jika aku terpaksa keluar kamu ajukan soalan kepada ustaz. Kalau dia selesai menjawab kamu ajukan soalan seterusnya sampailah aku masuk semula supaya ustaz tidak sempat berpindah ke hadis lain sebelum aku masuk. Begitulah kesnya jika Hasan Ahmad yang keluar maka Maulana Zakaria yang akan mengajukan soalan. Setelah sekian lama ustaz mula perasan setiap kali salah seorang daripada mereka keluar maka yang seorang lagi akan mengajukan soalan. Tiba-tiba satu hari Hasan Ahmad terpaksa keluar kelas kerana wuduknya terbatal. Beliau memberi isyarat kepada Maulana Zakariya sebagaimana yang dijanjikan. Maulana Zakariya memulakan soalannya berkenaan dgn pandangan Allamah Ibnu Humam dalam kitab Fathul Qadir. Ustaz tersenyum sambil ketawa melihat gelagat soalan seumpama itu. Mengetahui maksud Maulana Zakariya dengan soalannya itu beliau lantas berkata "Tak apalah sementara kita tunggu Hasan Ahmad datang aku akan ceritakan kepada kamu satu kesah. Tak payahlah aku bertarung menjawab berkenaan kenyataan Fathul Qadir kamu itu". Natijah daripada itu mengikut Maulana Zakaria tidak ada satupun hadis yg dipelajarinya yang tidak didengarinya di hadapan ustaz yg merupakan ayahnya sendiri Maulana Yahya Kandahlawi. Begitulah halnya seorang yang mengutamakan kehadiran dan berguru semasa menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah ilmu yang dituntutnya mendapat keberkatan. Ia diberkati sepanjang masa. (Ubahsuai petikan ucapan pengenalan pengajian hadis kitab Bukhari dalam bahasa Urdu oleh Maulana Taqi Uthmani di Darul Uloom Karachi. Dari laman webnya http://www.deeneislam..com dan dari kitab Aap Biitii).

Maulana Zakariya

Tuesday, December 1, 2009

Kembara Deoband 15 - Maulana Ismail

Saya dan Wan Nazarudin begitu bersemangat pagi itu. Loceng telah dibunyikan. Kami sudahpun berada di perkarangan Jama Masjid kerana kelas kami akan bermula mulai hari ini. Pelajar-pelajar bergegas-gegas memasuki masjid. Kesemuanya berpakain kurta pajama berwarna putih. Kopiah mereka juga putih. Masing-masing datang dan mengambil tempat duduk di kawasan tiang-tiang yang telah ditentukan untuk menjadi kelas mereka. Kami ditunjukkan di bahagian mana kelas kami. Kelas tahun dua. Mereka panggil kelas duum (دُومْ). Atau kelas Hidayatul Nahwi (هداية النحو) mengambil sempena nama kitab pelajaran nahu Arab di tahun dua. Mata asyik memandang ke sana-kemari melihat gelagat pelajar India di dalam kelas. Mereka juga berpaling ke arah kami. Mungkin mereka tahu kami pelajar baru kerana muka kami yang belum pernah mereka lihat. Hampir kesemua pelajar menghalakan pandangan ke arah kami. Terasa serba salah dibuatnya. Kata kawan-kawan usah hiraukan perangai orang India.

Lama menunggu ustaz tidak datang-datang. Hari ini mengikut jadual kami akan diajar nahu bahasa Arab. Kitab yang akan digunakan ialah Hidayah Al Nahw, karangan ulama India juga. Ianya ditulis berbahasa Arab. Selepas satu jam nanti kami akan diajar pula dengan mata pelajaran ilmu saraf. Kitab yang digunakan ialah Ilm Al Sighah. Juga hasil karangan ulama tempatan tetapi berbahasa Parsi. Sambil menunggu ustaz saya membelek-belek kedua-dua kitab tersebut. Saya tertanya-tanya bagaimana saya akan mempelajari kitab-kitab ini sedangkan saya tidak mengetahui bahasa Arab maupun bahasa Parsi. Kenapa untuk mempelajari ilmu saraf bahasa Arab saya perlu menggunakan kitab berbahsa Parsi. Apakah bahasa yang akan digunakan oleh guru nanti. Kalau bahasa Urdupun kami tidak juga akan faham kerana belum pernah mempelajarinya. Tidak adakah pengajian bahasa terlebih dahulu sebagai permulaan. Kenapa harus melompat ke tahun dua. Kenapa tahun dua hanya kami berdua. Tiada pelajar lain. Berbagai-bagi persoalan bermain di minda.

Dalam keadaan tenggelam mengelamun tiba-tiba muncul seorang lelaki tua berbaju putih dan berkain sarung biru. Agak pelik kerana hampir tiada ustaz yang datang ke kelas berkain sarung. Orangnya kurus dan tinggi. Hidungnya mancung. Warna kulitnya sawa matang kegelap-gelapan. Daripada raut wajah dan janggutnya mungkin beliau sudahpun memasuki umur 60an. Wajahnya yang serius menambahkan lagi bilangan umurnya. Di tangannya ada payung. Kemungkinan payung untuk pulang ke rumah nanti kerana balik nanti cahaya matahari akan terik memancar. Agaknya beliau berjalan kaki dari rumah. Beliau terus menghampiri kami. Tanpa memperkenalkan diri dia duduk di hadapan kami. Tetapi kami sudahpun mengetahui bahawa guru yang akan mengajar kami nahu Arab ialah Maulana Ismail kelahiran Deoband. Dia tidak duduk bersila. Kaki kirinya dilipatkan seperti duduk antara dua sujud. Kaki kanan diangkat seperti duduk ketika makan mengikut sunnah dalam Jemaah Tabligh. Beliau meminta kami membuka kitab dan membacanya. Dia tidak membawa apa-apa buku, nota atau kertas. Beginilah hal kesemua ustaz-ustaz/maulana-maulana di sini. Mereka membaca di rumah dan cuba mengingatinya. Mereka datang ke kelas sehelai sepinggang. Apabila memasuki kelas pelajar akan membaca teks. Maulana akan memberi syarahan terhadap teks yang dibaca sedikit demi sedikit dalam masa satu jam sehinggalah tamat kitab di penghujung sessi. Saya mendengarnya dengan serius tetapi tidak memahaminya. Kerana mempertimbangkan kami pelajar luar maka Maulana Ismail mengajar menggunakan bahasa Arab. Simple Arabic. Wan Nazarudin lebih faham kalam Maulana kerana dia datang dari Sekolah Mahaad Muhammadi Kota Bharu. Setelah lebih kurang sebulan lamanya mengajar Maulana tidak lagi datang. Kami kebingungan. Walaupun kami tidak memahami seratus peratus pelajaran tetapi kami tetap menunggu Maulana. Orang kata belajar berguru berkat. Maulana terus menghilang. Tiada kawan-kawan senior yang tahu tentang sebab Maulana Ismail ghaib.

Setelah beberapa lama masa berlalu akhirnya berita tentang Maulana sampai ke telinga kami. Maulana Ismail masuk penjara. Berlaku insiden pembunuhan di rumahnya. Tidak tahu siapa yang membunuh siapa. Maulana bukan orang yang membunuh. Tetapi Maulana mengaku bagi pihak keluarganya. Mungkin Maulana merasakan dia sudah tua dan biarlah dia yang menanggungnya. Lagipun perbicaraan di mahkamah India tidaklah begitu adil. Orang yang berpengaruh sentiasa menang. Maulana dari keluarga yang miskin dan daripada kelompok keturunan yang tidak berpengaruh. Mulai saat itu saya tidak lagi mendengar berita tentang Maulana. Apakah beliau telah dibebaskan atau sebaliknya. Kejadian yang berlaku kepada Maulana mengingatkan hari-hari pertama dia mengajar kami. Muka yang serius itu sebenarnya adalah petanda mungkin Maulana sedang berhadapan dengan masalah keluarga. Namun ilmu yang dicurahkan oleh Maulan tidak sia-sia. Saya sudahpun mengajar kitab Hidayah Al-Nahw sekembalinya ke tanahair. Semoga Allah memberi pahala kepada Maulana Ismail di atas jerih payah beliau mengajar kami walaupun tidak lama. Saya dapat merasakan bahawa Maulana tidak sunyi di penjara. Tidak merasa hina dipenjarakan. Bukankah Maulana mengetahui bahawa Nabi Yusuf as juga difitnahkan sehingga terpaksa baginda qiam di penjara untuk ke sekian waktu. Sesungguhnya ujian Allah Ta`ala tidak mengenal sesiapa.

Monday, November 30, 2009

Kembara Deoband 14- Hari-Hari Permulaan Pengajian

Ustaz Nasrif Yusuf dan kawan-kawan senior telah mengusahakan kemasukan kami ke Darul Uloom Waqaf atau Jama` Masjid. Saya dan Wan Nazarudin dibenarkan masuk ke tahun dua. Abd Rahman, Junaid dan Abu Hashim semuanya memasuki tahun lapan iaitu tahun akhir. Ia juga dikenali sebagai tahun Daurah Hadith. Saya tidak mengetahui atas alasan apa saya diletakkan di tahun dua. Kenapa tidak tahun satu. Persoalan yang hanya mampu saya ajukan kepada diri sendiri sahaja kerana jika diberi penjelasan pun saya mungkin akan akur sahaja. Sememangnya saya jahil tentang sisitem pengajian agama. Samada sekolah agama, pondok atau madrasah.

Kawan-kawan senior begitu bersemangat ingin menjadikan kami berdua alim. Mereka merasakan rugi kerana tidak mendapat peluang mempelajari kitab-kitab asas di tahun-tahun permulaan. Kerana itu mereka ingin kami merangkulnya. Mereka membawa kami berdua membeli kitab2 tahun dua. Sebahagiannya berbahasa Parsi dan sebahagian lagi berbahasa Arab. Semua kitab ditulis dengan tangan. Kemudian diphotocopykan ke dalam plat-plat besi sebelum di masukkan ke dalam mesin pencetak. Yang mengherankan ialah kitab-kitab yang dibeli bukan boleh terus dibaca. Ia perlu dipotong-potong terlebih dahulu mengikut ukuran yg sesuai. Ia tanpa kulit. Oleh itu ia perlu dijilidkan. Ia harus dibawa ke kedai penjilidan buku. Tukang jilid akan mengambil masa sehari dua untuk menjilidkan kitab bergantung kepada kesibukan mereka juga. Kita bebas memilih antara cover berkulit lembu atau berkulit kertas. Bahagian tepi kitab biasanya diwarnai dengan corak warna yang berbagai-bagai. Ia dilakukan dgn memasukan berbagai warna cat ke dalam minyak tanah. Cat ditiup-tiup supaya ia bercampur antara satu sama lain dan tersebar dipermukaan minyak. Kemudian bahagian tepi kitab akan dicelup untuk menghasilkan corak warna tepi yang unik. Bahagian tepi yang berwarna ini menyebabkan kitab kelihatan tidak lusuh walaupun kerap dibuka. Jika tidak ia lama kelamaan akan menjadi hitam.

Wednesday, November 25, 2009

Kembara Deoband 13 - Bukan Sekadar MSU

MSU mempunyai cawangan di seluruh India. Di mana adanya pelajar Arab maka di situ akan adanya MSU. Cawangan yang agak besar ahlinya ialah di Delhi, Pune dan Lucknow. Ia bukan sekadar markaz tempat persinggahan. Malah MSU mempunyai agenda yang lebih besar daripada itu. Iaitu agenda Islam. Di antara aktiviti yang dilakukan oleh MSU yang terserlah ialah pentarbiahan. Mentarbiah pelajar baru dan lama kepada fikrah dan amal islami. Modus operandinya ialah dengan mewujudkan unit-unit usrah. Setahun sekali ahli-ahli usrah dari seluruh cawangan akan berkumpul dalam satu program yang dinamakan mukhayyam atau perkemahan. Manhaj yang digunakan ialah manhaj Jemaah Ikhwan Muslimin. Oleh itu perpustakaan MSU banyak diisi dengan buku tokoh-tokoh Ikhwan spt Yusuf Qardawi, Muhammad Ghazali, Ahmad Muhammad Rashid, Fathi Yakan, Sayyid Qutb, Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa dsb. Program mukhayyam diisi dengan beberapa aktiviti seperti ceramah yang akan dihadiri oleh tokoh2 ternama dari dalam maupun luar India; latihan berkawat ala tentera; permaianan padang seperti bolasepak dsb, pementasan seperti pertandingan menghafal Al-Quran, persembahan nasyid dan lakunan; Ibadah spt solat berjemahan, qiamullai, wirid ma`thurat. Mukhayyam diadakan di lokasi yang berbeza-beza mengikut giliran negeri. Pernah diadakan di Hyderabad di negeri Andhra Pradesh, di Bangalore di negeri Karnataka, Delhi dan Lucknow di negeri Uttar Pradesh etc. Saya hanya sempat mengikuti dua kali mukhayyam sahaja. Mukhayyam di Hayderabad dan Banglore. Ini disebabkan biasanya tarikh mukhayyam berbetulan dengan tarikh peperiksaan akhir sesi di Deoband.

Pelajar Malaysia, Thailand dan Indonesia juga mempunyai hubungan dari segi tanzim dengan MSU terutama mereka yang belajar di Nadwatul Ulama. Lokasi Nadwah yang berdekatan dengan University of Lukcnow memudahkan mereka mengikuti program-program MSU Lucknow. Jumlah mereka yang ramai dapat mewujudkan satu persatuan pelajar-pelajar bukan Arab yang akrab dan kukuh dengan menjadikan MSU sebagai tempat rujukan mereka. Kemudahterimaan pelajar Malaysia kepada dakwah bercirikan dakwah seperti MSU ini sebenarnya adalah hasil rentetan dakwah yang berlaku di tanahair.

Tahun 80an merupakan tahun kebangkitan Islam di Malaysia. Di antara ciri fasa 80an ini ialah penerapan fikrah Islam yang syumul. Untuk tujuan mendedahkan kesyumulan Islam banyak agenda telah dilakukan oleh pendakwah-pendakwah di tanahair. Pada waktu inilah buku-buku gerakan Islam mulai diterjemahkan dengan rancaknya. Terutama buku-buku gerakan Ikhwan Muslimun Mesir, Jamaat Islami Pakistan, dan Revolusi Iran. Aktiviti dakwah banyak dipengaruhi oleh manhaj gerakan-gerakan ini. Oleh kerana ianya fasa penerapan maka golongan sasaran yang utama ialah golongan pelajar peringkat sekolah menengah dan peringkat universiti. Ramai guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah di universiti telah mengambil inisiatif ke arah melahirkan generasi pelajar yang berjiwa Islam. Usrah, tamrin dan rehlah mula diperkenalkan kepada golongan pelajar. Mereka mula diperkenalkan dengan tokoh-tokoh pendakwah antarabangsa melalui penerbitan risalah-risalah, buku-buku dan majalah-majalah. Bertitik tolak di atas landasan ini mereka mula menerajui persatuan-persatuan Islam. Banyak seminar, diskusi, forum, wacana dsb dijayakan untuk mengenegahkan Islam kepada masyarakat umum terutama masyarakat pelajar.


Monday, November 23, 2009

Kembara Deoband 12 - MSU East of Kailash

Azhar daripada Deoband sudahpun menunggu kami di airport. Kami di bawa menaiki teksi. Saya tidak tahu Azhar hendak membawa kami ke mana. Perhatian saya hanya tertumpu melihat suasana baru di Delhi. Bahang kepanasan mula dirasai apabila keluar daripada airport kerana bulan Julai masih di dalam iddah musim panas. Agaknya suhu sudah menjangkau 40 darjah celsius lebih. Tengkok mula terasa haus. Namun saya tidak berani bersuara apa-apa kerana berjaga-jaga untuk tidak banyak merungut di tempat orang.

Jalan di sepanjang airport ke Delhi tidaklah begitu sibuk kerana jauhnya airport daripada pusat bandar. Kira-kira 45 minit perjalanan dengan kereta. Tanah-tanah di kiri kanan jalan masih lagi kosong. Tiada bangunan. Tiada perumahan. Jika dibandingkan dengan sekarang, tahun 2009, semuanya dipenuhi dengan bangunan rumah-rumah kedai dan hotel-hotel. Trafik mulai sibuk apabila teksi memasuki kawasan bandar. Hon-hon bas, lori, kereta, autorikshaw dan motosikal mula kedengaran. Kelihatan mereka begitu seronok menekan hon masing-masing. Mungkin mereka menggunakan bahasa hon di atas jalan raya yang tidak kami fahami. Hon sebagi salutation "namaste" untuk kawan dari arah yang berlawanan. Hon untuk memotong. Hon untuk memberi laluan. Hon menghalang laluan. Hon ucapan terimakasih kerana memberi laluan. Hon minta supaya bersopan sikit di jalan raya. Hon kerana marah. Hon haru biru bila di sana tidak ada traffic light dan tidak tahu macam mana hendak keluar daripada kesesakan yang tidak dirancang. Masing-masing mahu keluar dahulu. Ternyata kita dinasihatkan berhon di bandar Delhi. Di belakang sesetengah kenderaan terpampang arahan bertulis 'Please Hon'. Adakah ianya arahan daripada kerajaan atau amalan rakyat yang diredai oleh kerajaan sampai sekarang saya tidak mengetahui jawapannya.

Jalan di Delhi yang tiada line pemisah

Saya tidak jemu-jemu mengarahkan pandangan untuk melihat suasana Delhi. Jalan raya banyak tidak bertraffic light. Kenderaan berwajah lama. Kesemuannya ber-made in-kan India. Tidak banyak design kenderaan didapati. Produk Tata, Maruti, Mahindra dan Asyok Leyland semuanya kelihatan sama. Kereta-keretanya seperti kereta guru besar sekolah rendah saya Cikgu Sulaiman tahun 70an. Ia mengambarkan India tidak mengutamakan barangan import. Ia menunjukkan bahawa walaupun India adalah negara demokrasi terbesar di dunia tetapi dasar ekonominya lebih cenderung kepada Fabian Socialism. Mirip sistem perancangan berpusat Soviet Union ketika itu. Bangunan tidak tinggi. Semua serata. Tiada yang indah. Tiada yang mengasyikan. Warnanya lusuh kerana dibahangi oleh cahaya matahari. Tiang-tiang letrik condong hendak menyembah bumi. Wayar berserabut sambung menyambung di udara. Ada yang berjuntai-juntai ke bawah kerana putus atau diputuskan. Orang-orang miskin berderetan di sepanjang jalan. Meletakkan apa yang ada untuk hamparan tidur. Rumah-rumah setinggan di tepi jalan kelihatan amat miskin dan dhaif. Ia bagaikan khemah-khemah pelarian. Berdinding dan beratapkan kain guni dan juga plastik. Penghuninya seperti orang-orang nomad yang berpindah randah. Wajah mereka comot. Pakaian mereka compang camping. Kerana lama tidak berbasuh warnanya menjadi sekulit dengan warna tubuh mereka. Mereka memasak di tepi jalan. Membasuh mengikut giliran. Mandi separuh bertelanjangan. Penjual-penjual di tepi-tepi jalan sibuk menyorong kereta sorong. Memekik-mekik. Melolong-lolong. Chai! chai! chai! (teh!, teh!, teh!). Phal le lo! phal le lo!, phal le lo (buah! buah! buah!...ambik buah, jual buah!). Lembu-lembu terbiar berkeliaran di tepi jalan. Meragut apa sahaja yang ada. Kertas, plastik, sampah sarap, kain dan berbagai kotoran. Tiada rumput. Tiada lalang. Sesekali mereka diam di tengah jalan. Menghalang lalu lintas. Menguji iman dan kepercayaan. Tiada yang merungut kerana menghormati kesucian.

Berteduh di tepi jalan


Rumah setinggan di tepi jalan


Wayar letrik yang berserabut

Lembu bebas di tengah jalan

Sampah sarap menjadi makanan
lembu yang dianggap suci


Teksi kami kemudian melalui kawasan perumahan yang cantik. Rumah-rumahnya agak tersusun rapi. Persis spt rumah-rumah di KL. Kawasannya agak bersih. Suasananya agak tenang. Mungkin ia kawasan orang-orang kaya dan berpelajaran. Ada yang memiliki sekuriti. Rupa paras sekuriti guardnya seperti orang Melayu kecina-cinaan. Kata kawan-kawan mereka orang Nepal. Kebanyakan mereka datang ke India mencari rezeki. Bekerja di restaurant, hotel-hotel dan banyak yang menjadi security guard. Nepal pada waktu itu sesatunya negara di dunia yang mengamalkan sistem autokrasi berpaksikan Hinduism. Sepatutnya India kerana ia mempunyai bilangan penganut Hindu yang paling banyak di dunia. Tetapi tidak. Nepal sebaliknya yang mendapat tempat. Ia diperintah oleh seorang raja yang beragama Hindu yang diwarisi dari turun temurun. Malangnya Nepal termasuk salah sebuah negara yang termiskin di dunia dengan kadar 31% daripada 28 juta penduduknya berada di bawah paras kemiskinan. Tidak hairanlah ramai rakyatnya mengadu nasib di bumi India. Pada hakikatnya India sememangnya dikelilingi oleh negara-negara yang tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan yang selesa kepada rakyatnya. Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Jika keadaan India sebegitu rupa bagaimana pula keadaan negara-negara disekelilingnya. Suatu perkara yang mengherankan ialah bagaimana boleh India menyediakan peluang pekerjaan kepada penduk-penduduk negara jirannya sedangkan rakyatnya susah mendapat kerja. Satu lagi persoalan yang sentiasa bermain di fikiran saya ialah bagaimana boleh terjadi India selaku sebuah negara nuklear di dunia tidak dapat menyediakan kemudahan yang paling asas untuk rakyatnya. Adakah kesemua duit rakyat dihabiskan untuk memperkuatkan ketenteraan? Berlumba-lumba dengan Pakistan melancarkan program pembinaan senjata nuklear terbaru. Missile Prithvi, Dhanush, Agni, Surya, Shaurya dan Sagarika melawan missile Hatf, Abdali, Ghaznawi, Shaheen, Ghauri, Babur, dan Ra`ad milik Pakistan.

Missile Ghauri Pakistan

Missile Agni India

Teksi kami akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah teres. Ramai yang keluar daripada rumah itu untuk menyambut kedatangan kami. Mereka seperti sudah menunggu-nunggu kedatangan kami. Saya terasa seperti VIP yang disenangi. Dipeluk-peluk. Ditegur-teguri. Mereka sungguh ramah dan sangat mehmaan nawaazi (hospitable). Barang-barang kami diangkut masuk ke rumah dalam sekelip mata sahaja. Mereka bercakap dengan bahasa yang saya tidak fahami. Rupa-rupanya mereka bercakap Arab. Mereka orang-orang Arab dari serata dunia. Palestine, Kuwait, Jordan, Sudan, Yaman, Algeria....Walaupun baru pertama kali datang kami merasakan seolah-olah sudahpun mengenali mereka sebelum ini. Itulah barangkali sifat orang Arab dahulu kala yang diwarisi. Apabila mereka mengatakan ahlan wasahlan maka ianya bukan sekadar luahan. Malah ia akan dijelmai dengan perbuatan. Tetapi akhlak ini kini bukan milik semua golongan Arab. Hanya mereka yang prihatin terhadap warisan Islam sahaja yang kelihatan menghidupkannya. Kata kawan-kawan orang Arab ramai di Delhi. Malah di seluruh pelusuk India. Hampir keseluruhan mereka adalah pelajar daripada berbagai-bagai peringkat pengajian tinggi. Ada yang mengambil BA. Ada yang mengambil MA. Ada yang sudah lama di India menyambung ke peringkat Phd. Bidang pengajian tumpuan mereka ialah selain pengajian agama. Hampir tiada orang Arab di madrasah-madrasah. Mereka belajar di universiti-universiti dan kolej-kolej. Rumah itu ialah markaz penuntut-penuntut Arab di Delhi. Mereka namakannya sebagai MSU. Singkatan kepada Muslim Student Union atau Ittihaad Talabatul Muslimiin Fil Hind. Ianya menjadi tempat persinggahan kepada mereka yang datang ke New Delhi. Samada dari luar negara atau dari dalam negeri. Pelajar2 Malaysia yang datang ke New Delhi pun biasanya menjadikan MSU sebagai tempat persinggahan mereka. Ianya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya. Berada di India tetapi tidak disangka-sangka seperti berada di tanah Arab. MSU sentiasa dalam ingatan. MSU yang terletak di kawasan perumahan East Of Kailash. East of Kailash yang berdekatan dengan Markaz Tabligh Nizamuddin.

Bertanda A ialah lokasi East Of Kailash.
Di sebelah utaranya kelihatan stesen keretapi Nizamudin.
Markaz Tabligh Nizamudin berdekatan dengan stesen ini.


Friday, November 20, 2009

Kembara Deoband 11 - Sampai Ke Destinasi New Delhi

Jam 1.50 pagi engin pesawat dihidupkan semula untuk penerbangan selanjutnya. Selepas 10 minit pesawat kami mula meninggalkan landasan. Hati tertanya-tanya adakah pesawat ini hanya membekalkan coklat dan air sejuk sahaja utk penumpang di sepanjang penerbangan. Tak ada makanan yang berat-beratkah? Agaknya sebab itulah tambangnya murah. Kata orang di dalam pesawat penumpang akan dihidangkan dgn makanan tengahari, malam dan sarapan pagi. Perut sudah mula memainkan irama keroncongnya tanda bahawa ia sudah lapar. Tidak sia-sia berfikir tentang bila makanan akan dihidangkan. Tiba2 pramugara dan pramugari mula menolak troli berisi makanan menghala ke tempat duduk kami. Saya hanya menjamah burger ikan, kuih, buah tamar dan susu. Nasinya yg berisi kentang kari bersama yougort saya hulurkan kepada kawan2 Pakistan kerana mereka sudah biasa dgn kelazatannya. Saya tidak biasa dgn makanan yg seperti itu. Selepas sarapan mata kami semua mulai mengantuk dan kami terus tidur sehinggalah sampai ke Madras jam 5.35 pagi. Tepat jam 6.45 pesawat meninggalkan Madras menuju ke destinasi kami yg sebenar iaitu New Delhi. Sarapan dihidangkan sekitar jam 7.45 pagi. Telur, roti, jem dan betik. 8.30 pagi penumpang diminta memakai talipinggang masing-masing kerana pesawat akan mulai landing. Saya cuba menikmati pemandangan menerusi tingkap kecil pesawat. Dari udara kelihatan bangunan dan rumah-rumah di bandar Delhi seperti petak-petak sawah. Tidak ada bangunan pencakar langit yang mendongak ke atas. Tidak banyak jaluran sungai yang mencelahi tanah-tanah lapang. Tidak ada gunung dan bukit bukau yang memagari. Tidak ada pokok dan hutan yang menyelubungi. Jaringan jalan raya yang bengkang-bengkok agak jelas kelihatan. Suatu pemandangan yang amat berbeza dgn apa yang ada di tanahair. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jantung berdebar-debar kerana terbayang-bayang kesukaran untuk melepasi kaunter imegresen nanti sebagaimana yang diceritakan oleh kawan-kawan dahulu. Takut mereka tak terima visa. Takut ditanya itu dan ini dan tak tahu hendak menjawabnya. Atau takut tersalah jawaban yang boleh mengundang ketidakpercayaan mereka bahawa kami datang untuk tujuan lain. Dalam asyik berfikir saya tidak menyedari bahawa saya sudah berada di dalam lapangan terbang antarabangsa Indra Gandhi. Syukur kepada Tuhan kerana akhirnya saya dapat memijak bumi India.

Monday, November 16, 2009

Kembara Deoband 10 - Sai Baba

Kerana sedikit kelewatan pesawat mula bergerak meninggalkan landasan pada jam 1.40 pagi. Saya duduk di barisan tengah bersama Wan Nazarudin, Umbaidilah dan Junid. Manakala Abu Hashim dan Abd Rahman duduk di bahagian kanan tingkap. Di sebelah kiri ialah seorang laki-laki dan perempuan India. Mereka kelihatan seperti pasangan pengantin baru. Seorang pemuda keturunan India yang baru naik daripada Singapura mengambil tempat duduknya di sebelah saya. Dia seorang penuntut fakulti undang-undang di salah sebuah universiti di Singapura. Katanya dia mahu ke Madras. Mahu menziarahi keluarga dan bersembahyang di kuil. Dia tidak jemu-jemu membelek-belek buku di tangannya. Barangkali sedang menghafal mantera-mantera untuk pemujaan di kuil nanti. Saya tidak bertanya dia penganut Hindu aliran apa. Daripada buku yang di tangannya itu jelas menunjukkan dia pengikut Sai Baba. Saya kerap melihat gambar Satya Sai Baba itu ketika di Kuala Lumpur. Gambarnya dilekatkan di dinding-dinding pejabat atau kedai orang-orang India. Perasaan saya ingin mengetahui siapakah sebenarnya tokoh ini. Kenapa dia mempunyai pengikut yang begitu setia. Apakah kehebatannya. Apakah pula ajarannya. Adakah dia seorang Hindu atau penganut agama lain. Perasaan ingin tahu ini telah menanamkan benih ke dalam jiwa saya tentang ilmu perbandingan agama. Pemerhatian ini menjadi pencetus kenapa saya selepas itu begitu cenderung kepada sesuatu yg bernama comparative religion.

Satya Sai Baba

Ajaran Sai Baba bukanlah sesuatu yang aneh dalam Hinduisme. Sebelum Sai Baba sudahpun lahir Sidi Baba yang membawa konsep ajaran yg sama. Malah sesiapa sahaja boleh menjadi spt Sai Baba dan Sidi Baba asalkan ia menerima konsep avatar (reincarnation, hulul) ajaran Hindu. Sesiapa sahaja boleh menjadi avatar kepada tuhan-tuhan mereka seperti Vishnu, Krishna, Rama dsb. Ia bermula dengan latihan rohani dengan meninggalkan fitrah kemanusian tanpa syariat yg membatasinya. Sehinggalah lahir perasaan kesatuan diri dengan Tuhan. Iaitu Atman. Manusia akan dilihat sama sahaja. Agama juga akan dilihat sama. Manusia bebas beragama tetapi harus menyatu dan bersatu. Iaitu Sanathana Dharma. Tidak ada yang haq. Bersatu itulah haq. Sama seperti konsep Din Ilahi Akbar, Bahai dan sesetengah ajaran sufi yang sesat seperti ajaran Inayat Khan (5 July 1882 – 5 February 1927). Matlamatnya cinta dan kasih sayang kepada semua. Iaitu Ocean of Love. Cinta dan kasih sayang harus dimanifestasikan dalam kesatuan berkerja. Bekerja untuk aktiviti sosial tanpa ada matlamat dunia. Iaitu Seva (selfless service). Golongan yang lemah ditolong. Golongan yang kuat menolong.

Gerakan Sai Baba telah berjaya melaksanakan banyak projek mega dan mendirikan institusi kebajikan percuma untuk masyarakat di hampir 166 buah negara. Sekolah, universiti, hospital, pusat kesenian, rumah ibadat, rumah kebajikan etc. Kemuncak kekuatan gerakan Sai Bab dapat dilihat oleh satu kenyataan bahawa pada tahun 2002 mereka mampu mengambil alih tugas kerajaan Tamil Nadu mengalirkan air ke sebuah tempat simpanan air (reservoir) Chennai (Madras) daripada sungai Krishna di negeri Andra Pradesh setelah projek Telugu Ganga yang dibina oleh kerajaan tidak lagi berkesan. Sempena dengan kejayaan itu org ramai telah menamakan projek baru itu sebagai Projek Sai Ganga. Maka tidak hairanlah jika ajaran Sai Baba mendakwa mereka mempunyai 1,200 pusat Sai Baba di 114 buah negara. Fenomena mengadakan aktiviti sosial oleh badan agama di India bukannlah asing. Banyak ashram (religious hermitage) dan mandir (temple) pecahan agama Hindu yang berbagai-bagai menubuhkan unit-unit sosial utk melaksanakan kerja2 kebajikan. Antaranya Ashram Aurobindo; Mandir-mandir dan sewa-sewa sempena nama tokoh2 Hindu moden spt Ramakrishna dan pengikut setianya Swami Vivekanda. Juga yang ditubuhkan oleh gerakan pertubuhan RSS yang bercita-cita mendaulatkan India sebagai Negara Hindu tulen, bukan negara sekular demokratik spt sekarang. Begitu juga pertubuhan agama-agama lain. Pertubuhan Misionary Kristian Mother Teresa, Pertubuhan sosial atas nama pengasas agama spt Guru Nanak, Mahavira dan Gautama Budha. Organisasi2 Islam juga turut memainkan perananya spt badan ekonomi Islam Muslim Fund, sayap sosio-politik madrasah-madrasah India iaitu Jamiat Ulama Hind, unit-unit amal gerakan Jamaat Islami dsb.

Namun kenapa India masih berhadapan dengan kemiskinan yang melata. Buta huruf yang nestapa. Taraf kesihatan yang dialpa. Infrastruktur yang terseksa. Mungkin jari boleh ditudingkan kepada kerajaan yang memerintah. Pertubuhan agama dan NGO hanya mampu menampung kekurangan di pihak kerajaan. Jika sesebuah kerajaan itu meninggalkan lompang kerja yang terlalu besar maka kerjanya sukar diisi dan ditampung oleh masyarakat kecil yg tidak mempunyai cukup kuasa. Adakah mereka yang menerajui silih berganti dewan undangan negeri Lokh Sabhanya dan dewan negara Rajya Sabhanya mempunyai niat yang ikhlas terhadap kebajikan rakyat. Parti Kongres, Parti Janatadal, Parti Baratiya Janataldal (BJP), Parti Bahujan (BSP) dan Parti Komunis (CPI) ialah nama-nama besar yang menjanjikan kesejahteraan rakyat di setiap kali piliharan raya diadakan. Atau kerana mungkin ada kuasa luar yang tidak mahu India menjadi suatu kuasa besar yang boleh mengugat kepentingan kuasa-kuasa tertentu di dunia yg menyebabkan mereka seolah-olah dirancang untuk terus berada dalam kondisi yg sedemikian rupa. Atau mungkin kerana faktor-faktor lain. Kemungkinan2 itu mungkin saja seluas tanah India barangkali. Ia mungkin juga sebanyak bilangan penduduknya yg kini mencecah satu billon.